Dzulkifli Angkat Sumpah Jawatan KP SPRM

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad mengangkat sumpah memegang jawatan itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara di sini hari ini.

SPRM dalam satu kenyataan media berkata, Dzulkifli dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos lalu.

“Dzulkifli yang merupakan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang ke-12 tiba di Istana Negara kira-kira pukul 9 pagi.

“Majlis angkat sumpah tersebut selari dengan Seksyen 5 (7) Akta SPRM 2009 yang mana setiap Ketua Pesuruhjaya yang dilantik perlu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong,” kata kenyataan itu hari ini.

SPRM berkata, selepas majlis tersebut, Dzulkifli turut menyertai sesi bergambar secara berkumpulan bersama Yang di-Pertuan Agong.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Datuk Paul Low Seng Kuan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Kata kenyataan itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pengurusan & Professionalisme) Datuk Seri Jamidan Abdullah dan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki turut menghadiri majlis tersebut. – MYNEWSHUB.CC