Dua SUV Baharu Haval Akan Masuki Pasaran Malaysia

SHANGHAI – Go Auto Group of Companies (Go Auto) merancang untuk membawa masuk dua lagi model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu Haval dari China ke Malaysia dengan sasaran harga dianggarkan daripada RM115,000 dan RM140,000 seunit pada akhir tahun ini dalam usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai pengedar utama SUV di rantau ini.

Malah, pelancaran kedua-dua SUV berkenaan – Haval H6 Coupe dan Haval H9 juga akan meletakkan Go Auto di tahap seterusnya untuk muncul sebagai hab SUV di Malaysia serta rantau ASEAN.

Bersandarkan harga yang disifatkan berpatutan untuk segmen SUV, Go Auto yang juga penggiat automotif Malaysia serta pengeluar dan pengedar tunggal kenderaan Great Wall Motor (GWM) dari China dan SUV Haval di Malaysia, juga yakin aliran permintaan terhadap kenderaan jenis itu akan terus meningkat.

Bercakap kepada media Malaysia di luar acara Pameran Automotif Shanghai 2017 (Auto Shanghai 2017) di sini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Azam Sulaiman berkata syarikat itu pada awalnya berhasrat untuk membawa masuk masing-masing 100 hingga 150 unit model itu namun ini bergantung kepada pelan jangka panjang serta kajian kebolehlaksanaannya.

Mengulas persepsi yang meragui automobil keluaran China, beliau berkata : “Bagi saya, biarkan saja (pandangan itu) kerana (kebenarannya) hanya mampu dibuktikan oleh produk dan kualiti Haval itu sendiri. Sila datang untuk menguji dan nikmati sendiri kualiti dan keselesaannya.”

Model Haval H6 merupakan SUV lima tempat duduk yang didatangkan dalam dua versi – varian standard dan Haval H6 Coupe yang lebih ‘sporty’ manakala Haval H9 merupakan model bersaiz lebih besar dengan tujuh tempat duduk.

Go Auto bagaimanapun belum memuktamadkan varian mana Haval H6 yang akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

Berbanding model-model Haval yang lain, Haval H6 terbukti menjadi pilihan ramai dengan purata 50,000 hingga 60,000 unit itu dijual di pasaran China setiap bulan.

Menerusi tawaran harga yang berpatutan, Haval iaitu singkatan ‘Have All’ (Miliki Semua) juga dilengkapi tekknologi terkini.

Pada awal tahun ini, kumpulan yang berpejabat di Malaysia itu melancarkan model Haval H1 (sebelum ini dikenali Haval M4) dan akan memperkenalkan Haval 2 dipasang tempatan di kilang pemasangan syarikat itu di Gurun, Kedah.

Model Haval H1 yang merupakan SUV GWM4 yang dijenamakan semula, dalah usaha GWM China untuk melonjakkan jualan di peringkat antarabangsa, seiring hasrat untuk menguasai pasaran global khususnya di Asia Tenggara.

Mengulas pasaran eksport Haval, Ahmad Azam berkata setakat ini, kenderaan jenis SUV itu telah dieksport ke Kemboja, Thailand, Brunei serta Batam (Indonesia), Vietnam dan Myanmar.

Pada Rabu, Haval melancarkan generasi kedua H6 untuk pasaran domestik serta prebiu khas kenderaan konsep Haval HB-03 di pameran ‘automotif itu yang diadakan di Pusat Pameran Konvensyen Kebangsaan.

Sementara itu, Naib Presiden Great Wall Motor Company, Samuel Chen menyifatkan hampir setiap perincian H6 itu telah dipertingkatkan iaitu daripada aspek platform sehinggalah kepada reka bentuknya yang baharu.

“Menerusi ciri-ciri seperti rangkaian kuasa dan keselesaan premium, model ini akan terus kekal sebagai peneraju SUV,” katanya pada majlis pelancaran itu.

Seramai 1,000 pempamer mempamerkan sehingga 1,400 kenderaan termasuk 159 kereta dipacu tenaga baharu pada pameran automotif selama lapan hari yang dijangka menarik sejuta pengunjung sebelum berakhir pada 28 April ini.

Kenderaan SUV dan kereta elektrik dijangka terus menjadi tumpuan sejajar peningkatan permintaan di pasaran kereta terbesar dunia.

Antara pempamer pada pameran itu termasuk Volkswagen, Toyota, Skoda, Audi, Renault, Mercedes-Benz dan Volvo yang mengetengahkan produk serta perkhidmatan terbaharu masing-masing.- BERNAMA