Dua Remaja Maut, Motosikal Dinaiki Bertembung Alza

SEREMBAN — Dua remaja maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza di KM 1 Jalan Tanjung Ipoh-Seri Menanti, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Supt Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku di satu jalan selekoh di KM1 Jalan Seri Menanti-Tanjung Ipoh melibatkan dua kenderaan iaitu Perodua Alza dan sebuah motosikal.

“Dipercayai kemalangan berlaku apabila kereta yang datang dari arah Tanjung Ipoh menuju ke arah Seri Menanti sampai di tempat kejadian melalui satu selekoh tiba-tiba datang motosikal dari arah bertentangan iaitu dari arah Seri Menanti menghala ke Tanjung Ipoh dipercayai telah hilang kawalan dan jatuh ke laluan bertentangan.

“Akibat dari pelanggaran tersebut penunggang dan pembonceng motosikal masing-masing berasal dari Muadzam, Kuantan dan Felda Keratong, Pahang meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya mayat dibawa ke bilik forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk bedah siasata dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — BERNAMA