Dua Pemandu Bas Positif Dadah Ditahan – JPJ

KANGAR – Dua pemandu bas ditahan kerana didapati positif dadah jenis syabu atau methamphetamine dalam Op Hari Raya Aidilfitri 2018 yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis hari ini.

Pengarahnya, Shahrul Azhar Md Dali berkata kedua-dua pemandu tersebut berumur 30-an didapati positif setelah menjalani ujian air kencing oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Kesalahan ini tidak sewajarnya dilakukan oleh pemandu kerana mereka mempertaruhkan nyawa penumpang,” katanya selepas membuat pemeriksaan di Terminal Bas Bukit Lagi di sini, hari ini.

Operasi yang bermula pada 8 hingga 24 Jun ini turut disertai Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) selain AADK bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu bas serta keselamatan pengangkutan awam berada pada tahap memuaskan dan selamat pada musim perayaan.

Menurut Shahrul Azhar, selepas lima hari operasi itu dilancarkan, sebanyak 228 bas telah diperiksa sebelum dibenarkan beroperasi pada musim perayaan ini.

Katanya JPJ akan membuat rondaan selama 16 jam sebelum Aidilfitri dan 24 jam selepas Hari Raya pertama di jalan-jalan utama di negeri ini. – BERNAMA

Loading...