Dua Pelabur China Berminat Buka Operasi Di MCKIP

NANNING – Minat pelabur China untuk melabur di Malaysia terus meningkat dengan dua lagi syarikat menunjukkan minat untuk membuka operasi bernilai berbilion ringgit di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming berkata beliau bertemu dengan dua pemain korporat China itu, yang telah berada diperingkat mendapatkan kelulusan dari Malaysia.

“Mereka mahu menjadikan Malaysia sebagai platform untuk mengeksport (produk mereka) ke Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN lain. Bagaimanapun, kita tidak boleh mengasingkan alasan sebenar mereka melabur di sini (di Malaysia).

“Ia adalah pempelbagaian risiko mereka tetapi ia juga adalah untuk menembusi pasaran baharu dalam ASEAN jadi mereka melihat ini sebagai situasi sama-sama menang,” katanya kepada pemberita Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai manfaat perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China kepada Malaysia.

Ong, yang berada di sini bagi lawatan rasmi sempena dengan China ASEAN Expo (CAEXPO) 2018 yang ke-15, berkata beliau juga akan melawat taman sekutu MCKIP, Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou (CMQIP) pada Khamis untuk memahami peranan taman itu dan manfaatnya kepada Malaysia.

“Tujuan utama saya berada di sini adalah untuk melawat CMQIP. Saya telah berada di Kuantan dan memahami situasi di sana lebih baik sekarang dan ia adalah tempat yang berpotensi besar dari sudut pandangan pembangunan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua negara telah menjalin hubungan yang kukuh dan percaya lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China baru-baru ini menunjukkan hubungan antara kedua-dua negara berada di landasan yang baik.

“Saya telah bertemu dengan (pegawai) kerajaan China di Xiamen dan Nanning dan mereka mengalu-alukan kita melabur di China. Mereka juga menggalakkan perniagaan mereka melabur di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan Malaysia Pavilion di CAEXPO yang menempatkan 174 pempamer dari Malaysia dan menyaksikan pelancaran Malaysia City of Charm.

Tahun ini, Sarawak dipilih untuk mewakili Malaysia bersempena dengan Visit Sarawak 2019. – BERNAMA

Loading...