Dua Lelaki Didakwa Edar Ketamin Lebih 100KG

KUALA LUMPUR – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar lebih 100 kilogram dadah jenis ketamin, Oktober lepas.

Tertuduh, Yap Puew Tiong yang bekerja sendiri dan pengawal keselamatan,P. Thanagopal, didakwa mengedar dadah bernilai RM7.07 juta di kawasan stor barang lusuh, di alamat 80 B/1, Jalan Antoi Kanan 6, Kepong Baru, di sini, kira-kira pukul 5.45 petang, 21 Okt lepas.

Yap, 38, dan Thanagopal, 46, kedua-duanya tidak diwakili peguam hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Tiada penga­kuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan mahkamah menetapkan tarikh 29 Dis depan sebagai sebutan semula kes.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Kedua-dua mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 39(b)(2) ADB yang memperuntukkan hu­kuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz Mohamed. – BERNAMA

Loading...