Terima Anugerah Bapa Mithali Didik Anak OKU

SUNGAI PETANI – Bapa tunggal kepada tujuh anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU), Abd Rashid Shaari, 56, terpilih sebagai penerima Anugerah Bapa Mithali OKU sempena Sambutan Hari Warga Emas dan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Negeri Kedah 2017, hari ini.

Abd Rashid yang merupakan pesara tentera berkata dia mengambil tugas menjaga dan mendidik empat anak lelaki dan tiga anak perempuannya selepas isterinya meninggal dunia lima tahun lepas.

“Anak ketiga saya, Mohd Khairul Anuar, 26, seorang OKU pembelajaran merupakan anak yang tidak sukar untuk diuruskan malah dia kini mampu menguruskan diri sendiri malah banyak membantu saya menjual di gerai buah-buahan selain membantu menjaga lembu dan ayam ternakan.

“Sebagai bapa, saya sentiasa melindungi dan mengutamakan keperluan anak-anak, menjadi rakan dan selalu luangkan masa bersama, mengingati hari-hari penting anak, bahkan saya juga mendidik mereka agar kasihi ibu bapa, namun yang penting jangan sesekali membezakan anak-anak istimewa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan itu di perkarangan Rumah Seri Kenangan, Bedong, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pendang yang juga bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah, Pendang, Abd Rahman Din, 71, dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Warga Emas Cemerlang Negeri Kedah.

Majlis perasmian sambutan bertemakan ‘Memperkukuhkan Inklusiviti Ke Arah Masyarakat Sejahtera’ itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani, dan Pembangunan Usahawan Datuk Suraya Yaacob.

Sementara itu, Suraya berkata anak-anak perlu memainkan peranan menggalakkan ibu bapa masing-masing yang sudah menjangkau usia warga emas untuk terus aktif dan produktif.

“Sembilan peratus daripada 1.8 juta rakyat di negeri ini terdiri daripada golongan warga emas, iaitu berusia 60 tahun ke atas, dan dijangkakan jumlah itu akan meningkat sehingga 15 peratus pada tahun 2030.

“Justeru, pelbagai langkah perlu diambil bagi membangunkan dan memastikan mereka terus aktif dalam komuniti, dan peranan ini juga perlu dimainkan oleh anak-anak,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga emas, antaranya PAWE, di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan sehingga kini terdapat empat PAWE iaitu di Bandar Baharu, Kulim, Sungai Petani dan Pendang.

“Kita berharap agar golongan muda akan turut sama mengadakan aktiviti di sini bersama warga emas, untuk mengeratkan hubungan antara generasi, malah kita berhasrat untuk mewujudkan satu lagi PAWE di Alor Setar dengan kerjasama Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB),” katanya. – BERNAMA

Loading...