Didenda RM30,000 Biarkan Larva Nyamuk Aedes Membiak

GEORGE TOWN – Seorang Pengurus Badan Pengurusan Bersama Taman Terubong Indah dijatuhi hukuman denda RM30,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan membiarkan premis bangunan blok 15, Taman Terubong Indah biak larva nyamuk aedes.

Pengurus itu yang merupakan Orang Kena Saman membuat pengakuan itu dengan menukar pengakuan kepada bersalah ketika kes itu ditetapkan untuk bela diri hari ini di hadapan Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman

Pengurus tersebut kemudian membayar denda berkenaan.

Pada 15 Mei lalu, pengurus tersebut didakwa terhadap tiga pertuduhan membiarkan keadaan itu terjadi sehingga terdapat larva nyamuk aedes (aegypti) iaitu sejenis serangga pembawa penyakit membiak di atas lantai simen di dalam kawasan premis tersebut.

Perkara itu bertentangan dengan Seksyen 13 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan boleh didenda di dibawah 13(2) akta sama dan boleh dihukum di bawah seksyen 23(b) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya.

OKS itu didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari tahun lepas hingga Januari tahun ini di premis berkenaan. – BERNAMA

Loading...