Dewan Ulamak PAS Bantah Bawa Masuk 1.5 Juta Pekerja Bangla

Berikutan rancangan kerajaan untuk membawa masuk pekerja warga Bangladesh seramai 1.5 juta orang secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun, isu tersebut mendapat perhatian Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).

Menerusi satu kenyataan media hari ini, Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, DUPP membantah keras hasrat tersebut kerana lambakan warga asing di Malaysia semestinya akan menimbulkan natijah negatif kepada struktur sosial malah kekosongan pekerjaan yang ditawarkan.

1.5 Juta Pekerja Bangla Akan Dibawa Ke Malaysia

takiri

“Keberadaan 6.7 juta orang warga asing dengan hanya 2.1 juta daripadanya memegang Pas Lawatan Kerja Sementara di negara ini (merujuk kenyataan Menteri Sumber Manusia pada November 2014) jika ditambah pula dengan kemasukan baru berjumlah 1.5 juta warga Bangladesh sudah pasti akan memberi implikasi kurang baik terhadap struktur sosial dan pemilikan pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan.”

Menurut Khairuddin lagi, seandainya situasi tersebut benar-benar berlaku, ia bakal memburukkan kadar pengangguran di Malaysia yang kini telah mencecah 3.2 peratus.

“Sepatutnya Kerajaan memantapkan polisi untuk menambah bilangan pekerja tempatan sesuai dengan penyediaan peluang-peluang pekerjaan seperti yang telah diumum oleh YAB Perdana Menteri dalam Bajet 2015 dan RMK11.”

Selain itu, beliau berkata, cadangan yang diutarakan itu turut memberi cerminan bahawa kerajaan meragui agenda-agenda yang telah digariskan melalui ‘The National Graduate Employability Blueprint (GEB) 2012-2017’ berupaya untuk memacu kemampuan graduan memenuhi pasaran pekerjaan, sekaligus merugikan dana yang telah dilonggokkan terhadap pelan berkenaan.

mat bangla

Bukan itu sahaja, DUPP turut menolak cadangan tersebut kerana faktor ancaman keselamatan dan kesihatan terhadap sistem sosial masyarakat Malaysia.

“Kejadian jenayah melibatkan warga asing juga banyak berlaku sehingga mengundang rasa terancam warga tempatan walaupun ia dikatakan kurang 10% daripada keseluruhan kes jenayah yang berlaku.Penularan penyakit berjangkit seperti malaria dan tibi juga sangat membimbangkan.”

Lantas itu, DUPP menggesa agar proses perjanjian yang bakal dimeterai oleh Kuala Lumpur dan Dhaka pada Julai hadapan dibatalkan supaya ia memberikan ruang kepada cadangan ini dibahaskan dengan teliti di Parlimen.

Ahmad-zahid-Hamidi

Cadangan tersebut telah diuar-uarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu sebelum ia menerima reaksi pelbagai dari pelbagai lapisan masyarakat Malaysia.

Dalam kenyataan susulannya semalam, ujar Zahid, cadangan tersebut hanya akan dilaksanakan setelah pihak kerajaan selesai mengeluarkan 2 juta pekerja asing haram di negara ini.

Namun, Khairuddin menyifatkan ujaran tersebut tak lebih dari retorik Zahid untuk menyelamatkan diri kerana umum sedia maklum, isu kemasukkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia tak pernah surut.

– MYNEWSHUB.CC

Oleh: IZZAT MOHD ANUAR

Laporan Berita Suri Rumah Nyaris Dirogol Warga Bangladesh