Dewan Rakyat Setuju Ketua Audit Negara, PAC Siasat Semula 1MDB

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat meluluskan usul agar Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat semula…

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat meluluskan usul agar Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat semula penyelewengan dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat-syarikat berkaitan.

Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengumuman keputusan itu selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggulung perbahasan mengenai usul tersebut.

Dalam usul tersebut, Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan menggesa agar siasatan mengenai penyelewengan dan skandal 1MDB dan syarikat-syarikat berkaitan dibuka semula supaya maruah Dewan Rakyat dapat dipulihkan dan segala maklumat berkaitan harus didedahkan kepada umum.

“Penyiasatan semula ini bertujuan mengembalikan maruah Dewan Rakyat dan institusi-institusi negara yang sebelum ini gagal menjalankan satu penyiasatan yang adil, kompeten, berwibawa dan bebas daripada campur tangan orang-orang berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata langkah itu diperlukan kerana skandal korupsi 1MDB telah gagal disiasat dengan cermat dan tiada tindakan telah diambil oleh kerajaan lama pimpinan Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

“Siasatan sebelum ini gagal mengenal pasti punca-punca sebenar skandal korupsi ini dan kerugian besar yang dialami oleh seluruh Malaysia dan khususnya, 1MDB,” katanya.

Usul tersebut juga dapat sokongan daripada majoriti anggota Parlimen termasuk anggota Parlimen BN dan PAS.

Sewaktu perbahasan, Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa menyokong usul tersebut dan berharap siasatan PAC nanti akan dibuka kepada rakyat untuk mengikutinya.

Beliau berkata kerajaan baharu Pakatan Harapan harus diberi ruang seluas-luasnya untuk merungkai perkara tersebut dan mencari satu kebenaran demi kepentingan rakyat dan negara.

“Yang kita mahu hanyalah kebenaran. Saya mahu kerajaan jangan berlengah kerana dijangka perkara ini dapat dibereskan oleh kerajaan lebih awal,” katanya.

Anggota Parlimen Rompin yang juga bekas Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata beliau bersedia dirujuk ke Jawatankuasa Pemilih Parlimen sekiranya terdapat salah laku dalam menjalankan tugas sebelum ini termasuk tindakan memulangkan kandungan surat Bank Negara Malaysia yang didakwanya berunsur risikan dan tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Biar Select Committee yang tentukan sama ada apa yang saya cakap mengenai surat ini betul atau tidak,” katanya. – BERNAMA

Loading...