Denggi Catat Trend Penurunan – KP Kesihatan

PUTRAJAYA – Kes demam denggi menunjukkan trend penurunan dalam tempoh tiga minggu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dari 30 Okt hingga 5 Nov lepas, sebanyak 1,263 kes dilaporkan berbanding 1,353 kes pada minggu sebelumnya iaitu penurunan sebanyak 90 kes (6.7 peratus).

Bagaimanapun, katanya terdapat lima negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Pahang, Johor, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.

“Jumlah kumulatif kes demam denggi dari Januari hingga 5 Nov 2016 adalah 90,506 kes dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 12 peratus (12,295 kes) berbanding tempoh yang sama tahun 2015 yang melaporkan sebanyak 102,801 kes,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya dalam tempoh 30 Okt hingga 5 Nov juga, terdapat enam kematian yang dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian denggi di Malaysia dari Januari sehingga 5 Nov kepada 208 kematian berbanding 283 kematian pada 2015.

Mengenai situasi zika, Dr Noor Hisham berkata berdasarkan laporan terkini dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 3 Nov lepas, terdapat sebanyak 73 buah negara yang melaporkan jangkitan zika.

Di Malaysia pula, katanya bilangan kes positif zika masih kekal tujuh sehingga 5 Nov.

Menurutnya pemantauan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari bulan Jun 2015 sehingga 5 Nov lepas, turut mendapati keputusan ujian yang negatif bagi 1,502 sampel darah dan air kencing yang telah diuji daripada pesakit yang menunjukkan gejala virus zika. – BERNAMA

Leave a Reply