Dapur Asrama Disita, Kontraktor Sementara Disediakan

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan bahawa pelajar Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya tidak akan disediakan makanan selama 14 hari sepanjang tempoh dapur asrama sekolah itu disita Kementerian Kesihatan seperti yang tular di media sosial.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, Jabatan Pendidikan Selangor menyediakan kontraktor penyelamat (sementara) bagi menyediakan makanan kepada pelajar sekolah tersebut sepanjang tempoh dapur asrama disita bermula 10 Januari lepas.

“Demi kepentingan murid, kontraktor penyelamat disediakan selama 14 hari bagi membolehkan makanan kepada 850 orang murid di asrama sekolah berkenaan disediakan dengan mencukupi dan menepati masa hidangan yang ditetapkan,” katanya.

Mengenai tindakan Kementerian Kesihatan menyita dapur asrama sekolah itu atas alasan kebersihan, KPM berkata pihaknya sedang mempertimbangkan beberapa tindakan yang lebih tegas demi menjaga kebajikan murid.

Selain itu, katanya pengurusan sekolah telah diminta meningkatkan tahap pemantauan bagi memastikan kualiti makanan yang disediakan sentiasa terpelihara dan mematuhi standard ditetapkan KPM. – BERNAMA

Loading...