DAP Sambut Baik Cadangan Larang Rotan Anak

KUALA LUMPUR – DAP menyambut baik cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjadikan perbuatan ibu bapa yang merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah.

Setiausaha Wanita DAP, Teo Nie Ching berkata, cadangan itu selari dengan larangan yang terkandung dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Wanita DAP sedar kejadian penderaan kanak-kanak semakin meningkat. Pada tahun 2010 terdapat 3,257 kes dilaporkan meningkat kepada 3,428, 3,821 dan 4,119 kes masing masing pada tahun 2011, 2012 dan 2013.

“Pada bulan Januari hingga April 2014 sahaja terdapat 1,430 kes dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Nie Ching mahu kerajaan memastikan penguatkuasaan undang-undang itu jika dilaksanakan dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan ia efisien untuk menangani isu penderaan kanak-kanak.

Beliau turut mengingatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menguatkuasakan undang-undang yang melarang perkahwinan bawah umur. – mynewshub.cc

Loading...