Dana ESG Valuecap Berjumlah RM1 Bln Akan Dilancar Pada Jun

KUALA LUMPUR – Dana Indeks Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Dana ESG) ValueCap Sdn Bhd, dengan saiz dana RM1 bilion akan dilancarkan Jun tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Suruhanjaya Sekuriti meluluskan Dana ESG, yang selari dengan agenda kemampanan dan keterangkuman negara.

“Saya menggesa dana-dana institusi turut serta dengan memperuntukkan sekurang-kurangnya lima peratus aset dalam pengurusan masing-masing untuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab, katanya dalam ucaptama pada persidangan pelabur institusi, Invest Malaysia 2015, di sini hari ini.

Akhir tahun lepas, Bursa Malaysia melancarkan Indeks ESG, yang antara lain mengukur tindakan dalam pemuliharaan alam sekitar, impak ke atas inisiatif tanggungjawab sosial ke atas masyarakat dan keputusan yang responsif dan beretika,

Indeks ESG menyediaan suatu kaedah telus untuk pelabur, institusi dan pengurus dana menilai pelaburan mampan.

Sehingga ini 24 syarikat layak dimasukkan dalam indeks berkenaan. – BERNAMA