Cypark Smart Tech Didenda RM15,000 Gagal Patuhi Notis

SEREMBAN – Sebuah syarikat pengendali tapak pelupusan sampah sanitari, Cypark Smart Technology Sdn Bhd, didenda RM15,000 oleh Mahkamah Jabatan Alam Sekitar di sini pada Jumaat lepas, atas kesalahan gagal mematuhi Notis Arahan yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

Pengarah JAS negeri Norhazni Mat Sari berkata syarikat tersebut didakwa telah melanggar Seksyen 31(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, iaitu kesalahan gagal mematuhi Notis Arahan yang dikeluarkan jabatan kepada syarikat.

“Syarikat tersebut didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 22 Dis tahun lepas, pukul 12.30 tengah hari di Mukim Jimah, Port Dickson.

“Hakim Maimoonah Aid mendapati syarikat itu bersalah terhadap pertuduhan dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM15,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norhazni berkata syarikat itu telah membayar denda pada hari yang sama dan pendakwaan telah dilakukan oleh Pegawai Pendakwa JAS negeri Abdul Razak Yasin. – BERNAMA

Loading...