Curi Wang Majikan, Pengurus Hotel Dipenjara 6 Bulan

KUALA LUMPUR – Akibat mencuri wang majikan dan mengemukakan laporan palsu, seorang pengurus hotel dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Umzarul An-nur Umar menjatuhkan hukuman enam bulan terhadap Muhammad Rafi Mansor, 38, yang mengaku bersalah mencuri wang tunai berjumlah RM3,006 milik Hotel Kita di Lot 1659 dan 1660, Jalan Raja Laut, di sini, pada 10 pagi, 13 Dis lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman enam bulan terhadap tertuduh kerana memberi maklumat secara lisan atau bertulis yang palsu kepada seorang penjawat awam, di Balai Polis Chow Kit, Jalan Haji Taib 1, di sini, pada 11 pagi, 19 Dis lepas.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh dia tangkap, pada 20 Dis lepas.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon hukuman setimpal bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia penanggung utama keluarganya. – BERNAMA

Loading...