Curi Makanan: Ibu Enam Anak Dipenjara 3 Bulan

KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal warga Kemboja dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri pelbagai jenis barangan makanan bernilai RM188.02 di sebuah pasar raya, dua minggu lepas.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Mai Les, 35, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri barang makanan antaranya gula pasir kasar, emping jagung, minuman, buah pisang kaki dan strawberi milik syarikat AEON CO (M) Berhad di tingkat LG, Aeon Midvalley, Brickfields di sini pada 1 tengah hari, 16 Ogos lalu.

Dia yang bekerja sebagai penghantar barang didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Mai Les juga dipenjara tiga bulan atas pertuduhan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah di kaunter aduan pondok polis, Midvalley, Brickfields di sini pada 2.15 petang hari yang sama dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 16 Ogos lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan juga sebatan tidak lebih dari enam sebatan.

Terdahulu, Mai Les yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia penanggung utama keluarga kerana suaminya meninggal dunia selain perlu menjaga enam orang anak, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adila Nordin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. – BERNAMA

Loading...