Curi Makanan Di Pasar Raya, 2 Jurujual Dipenjara

PETALING JAYA – Gara-gara mencuri pelbagai jenis makanan bernilai hampir RM200 di sebuah pasar raya, dua jurujual masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh dan empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhi hukuman itu terhadap Norlailah Tamyiz, 45, dan Jamaliya Badillah, 19, selepas mereka mengaku bersalah mencuri 18 jenis makanan dan minuman bernilai RM199.34 di pasaraya Aeon Bandar Utama, di sini pada 6.50 petang, 26 Nov lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara tujuh hari terhadap Norlailah manakala Jamaliya dipenjara empat hari dan hukuman itu bermula hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh manakala kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh, memohon hukuman ringan dengan alasan bahawa itu merupakan kesalahan pertama mereka. – BERNAMA