Cipta Rekod Tamat Doktor Falsafah Di Usia 24 Tahun

Dr. Hazzirah Izzati yang baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam pengkhususan Matematik Tulen melalui program ‘PhD Fast Track UTM’ menjadi individu termuda Malaysia memegang rekod tersebut.

Ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-53 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Sultan Iskandar, Skudai, beliau berkata bahawa akan cuba untuk keluar dari zon selesa dan tidak mahu berada pada kedudukan sama.

Beliau yang sudahpun mendirikan rumah tangga pada September lepas juga menerima pengiktirafan dari The Malaysia Book Of Records sebagai individu termuda Malaysia menamatkan pelajaran peringkat PhD.

Saya mahu meneroka lagi bidang Matematik Tulen ini dan bercadang menghasilkan kajian sendiri berkaitan teori kumpulan ‘algebra,” ujarnya yang baru berusia 24 tahun.

Memetik laporan Harian Metro, beliau berkata lagi yang bergelar graduan PhD pada usia muda memang menggembirakan dan akan menjadikan anugerah tersebut sebagai batu loncatan.

Dr. Hazzirah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1, kemudiannya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai dan MRSM Bitara Pengkalan Chepa.

Dia kemudiannya menyambung pendidikan di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains (Matematik) sebelum meneruskan langkah di peringkat PhD. – MYNEWSHUB.CC

Oleh : IZZAT MOHD ANUAR