China & Asean Perlu Bekerjasama Lebih Erat Lagi

CHONGQING (China) – China dan Asean perlu bekerjasama lebih erat lagi bagi memastikan kestabilan kewangan, ekonomi dan politik serantau, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu penting bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi kedua-dua ekonomi.

“Hubungan diplomatik perlu menjadi saluran respons pilihan utama dalam menyelesaikan sebarang perselisihan dan mempermudahkan lagi perdagangan antara kedua-dua pihak.

“Kerana Peribahasa Cina ada menyebut ‘sekiranya anda mahu pergi cepat, anda pergi sendiri; sekiranya anda mahu pergi jauh, pergi bersama orang ain’,” katanya dalam ucap tama beliau pada Forum Ekonomi Cina Sedunia Ke-6, di sini, Khamis.

Asean, katanya, akan menjadi rakan dagangan terbesar China pada tahun depan, yang berlaku serentak dengan pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

Muhyiddin berkata perdagangan Asean dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini semakin meningkat hasil daripada perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) Asean-China.

Perjanjian itu mengurangkan kadar tarif purata bagi barangan China yang dieksport ke negara-negara Asean daripada 12.8 peratus kepada 0.6 peratus, manakala kadar tarif bagi barangan Asean yang dieksport ke China pula berkurangan daripada 9.8 peratus kepada 0.1 peratus.

Beliau berkata Asean juga bekerjasama rapat dengan China bagi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang akan menyediakan peluang bagi negara-negara untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi lebih saksama dan terangkum.

“Penandatangan RCEP, apabila ia dimuktamadkan, akan menyumbang kepada hampir separuh penduduk dunia, dan hampir dengan peratusan yang sama daripada perdagangan global,” katanya.

Menegaskan lagi hujahnya berhubung perkara itu, beliau berkata ekonomi China-Asean kini juga telah semakin serasi.

“Memandangkan orientasi semula China ke arah mengukuhkan permintaan domestik ditambah dengan pembangunan pesat perbandaran dan peningkatan kelas pertengahan, ini akan merangsang permintaan bagi produk dan perkhidmatan dari anggota Asean,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata pasaran pengguna Asean dengan jumlah penduduk seramai 600 juta orang juga merupakan daya tarikan menarik bagi perniagaan China.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada September tahun ini menyenaraikan China sebagai ekonomi terbesar dunia dari segi kesamarataan kuasa beli, mengatasi Amerika Syarikat, katanya.

Bagi pasaran negara ini, beliau berkata China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia, dan Malaysia rakan dagangan terbesar China di Asean.

Menyentuh mengenai tragedi pesawat MH370 dan MH17 Malaysian Airlines (MAS), Timbalan Perdana Menteri itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak,
terutamanya kerajaan China di atas bantuan pengetahuan dan kepakaran teknikal mereka yang amat bernilai dan yang paling penting kesabaran dan sikap memahami mereka terhadap Malaysia semasa tempoh-tempoh sukar itu.

Penerbangan MH370 dengan 239 orang penumpang termasuk warga China yang sedang dalam perjalanan ke Beijing hilang daripada radar sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac.

Manakala penerbangan MH17 terhempas di selatan Ukraine pada 17 Julai, semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Muhyiddin berada di sini sempena lawatan rasminya selama enam hari ke China merangkumi Beijing, Shanghai dan Chongqing sejak Ahad. – BERNAMA

Loading...