Ceballos Selamatkan Maruah Real Madrid

SEVILLE – Jaringan pada masa kecederaan menghadiahkan Real Madrid kemenangan pertama La Liga bagi tahun 2019, ketika menumbangkan Real Betis 2-1, awal pagi tadi.

Jaringan Dani Ceballos menerusi sepakan percuma itu berjaya memastikan Real kembali ke dalam kelompok empat teratas La Liga, sekaligus mengukuhkan peluang ke saingan Liga Juara-Juara, musim depan.

Luka Modric meletakkan Real di depan seawal minit ke-18, apabila bijak memanfaatkan peluang hasil kesilapan pertahanan Betis, Marc Bartra yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Namun, skuad bimbingan Santiago Solari yang kehilangan tujuh pemain utama serta Karim Benzema yang cedera pada penghujung babak pertama, sedikit bergelut apabila Sergio Canales menyamakan kedudukan pada minit ke-67.

Canales melakukan rembatan yang memasuki celah kaki penjaga gol Real, Keylor Navas.

Jaringan itu disahkan melalui video bantuan pengadil (VAR), – sekaligus bakal menyaksikan Real terus terkena badi kekalahan selepas tumbang dua perlawanan awal tahun 2019, ketika menentang Villarreal dan Real Sociedad.

Namun, Ceballos yang juga bekas pemain Betis, mengesahkan kemenangan mutlak milik Real menerusi jaringan kedua, ketika saingan berbaki dua minit.

“Kami bergelut untuk mendapat tiga mata penting ini, kami meraih hasil daripada peluang keemasan ini,” kata Ceballos, yang mengambil alih tugas mengambil sepakan percuma daripada Sergio Ramos.

“Saya mahu mengambil sepakan itu dan saya memang cukup yakin. Sergio pun tahu situasi ini dan saya menemui ruang di sebalik benteng pertahanan dan berjaya menjaringkan gol.”

Kemenangan itu membolehkan Real Madrid memintas kedudukan Alaves di tangga keempat liga dengan 33 mata, namun masih kekal ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Barcelona yang menumpaskan Eibar, 3-0.

Madrid kini dilanda kemelut kecederaan pemain termasuk – Gareth Bale, Marco Asensio, Thibaut Courtois dan Toni Kroos, yang memaksa Solari mengubah formasi kepada 3-5-2.

Pengendali dari Argentina ini terpaksa membuat keputusan yang tidak digemari apabila sekali lagi mengenepikan pemain kesayangan penyokong, Isco serta pemain berpengalaman, Marcelo. – Reuters

Loading...