Cadangan Merotan Jadi Kesalahan Jenayah Disaran Ditarik Balik

KUALA LUMPUR – Cadangan menjadikan kesalahan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah dalam akta baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 disaran ditarik balik kerana dibimbangi melahirkan generasi ‘besar kepala’ dan tidak menghormati ibu bapa.

Pengerusi SukaGuam Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata pelaksanaan akta seumpama itu akan disusuli dengan tindakan memisahkan anak dengan ibu bapa sehingga berusia 18 seperti yang berlaku di Sweden.

Katanya, kesalahan jenayah melibatkan dua elemen iaitu actus reus (perlakuan) dan mens rea (niat jenayah).

“Niat jenayah hanya wujud andai ia berlaku secara konsisten dan tidak bersebab. Merotan anak bagi tujuan mengasuh jelas terkeluar daripada pengertian ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata merotan anak berkemungkinan menjadi kesalahan dalam akta baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan
di Parlimen selewat-lewatnya Jun depan.

Khairul Anwar turut berkongsi maklumat bahawa beberapa pihak di Sweden mendakwa undang-undang perlindungan kanak-kanak di bawah Seksyen 4A, Bab 4 Kanun Keseksaan Sweden dimanipulasi untuk mengaut keuntungan apabila wujudnya ‘industri anak angkat’ di negara itu.

Beliau berkata pemberi maklumat dan ibu bapa angkat di negara itu diberi bayaran sehingga RM4,300 sebulan bagi seorang anak angkat yang dijaga.

Tambahnya, merotan anak-anak adalah diharuskan oleh Islam bagi tujuan mendidik seperti yang disebut di dalam hadis Nabi Muhammad saw.

Senada dengan Khairul Anuar, Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut mencadangkan agar ia dikaji secara terperinci, merangkumi pelbagai aspek terutama berkaitan tuntutan agama Islam yang mengharuskan ibu bapa merotan anak-anak bagi tujuan mendidik.

“Perkara ini perlu dikaji secara mendalam dengan melibatkan pandangan banyak pihak dan meneliti pelbagai aspek termasuk peranan ibu bapa dalam mendidik anak dengan cara tersendiri kerana mereka lebih mengenali anak-anak mereka,” katanya.

Mas Ermieyati berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga perlu meneliti tafsiran merotan yang terkandung dalam perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) kerana ia merujuk kepada aspek penderaan termasuk penderaan mental terhadap kanak-kanak.

Sementara itu Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang turut berkongsi pendapat sama berkata, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa untuk menggubal rang undang-undang baharu itu sebaliknya perlu menelitinya dengan lebih mendalam.

“Saya harap pihak kementerian (KPWKM) mengadakan rundingan khusus dengan semua pihak berkepentingan seperti Persatuan Ibu Bapa, pakar psikologi, NGO dan pakar-pakar berkenaan sebelum keputusan dibuat.

“Jabatan Peguam Negara juga perlu mengadakan satu pertemuan segera dengan semua pihak termasuk Wanita Barisan Nasional (BN) untuk mendengar penjelasan dan maklum balas mengenai kesan terhadap undang-undang yang akan dilakukan,” katanya.

Sebaliknya, Presiden Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) Datin Noor Azimah Abdul Rahim menyokong cadangan itu kerana perbuatan merotan hanya akan menyebabkan anak-anak dilanda kemurungan dan memberontak.

Katanya, hukuman merotan sudah tidak relevan pada masa sekarang. – BERNAMA

Loading...