Buruh Dipenjara 6 Bulan Sembunyi Kereta Curi

PETALING JAYA – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan sebuah kereta, bulan lepas.

Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah memerintahkan tertuduh Muhammad Faris Mohd Ali @ Sudin, 25, menjalani hukuman itu dari tarikh tangkapan mulai 26 Mac lepas.

Dia didakwa menyembunyikan kereta curi bernilai RM24,000 milik pelajar lelaki, Koo Jia Shin, 22, di rumah tertuduh di Block 4/81 Felda Kemahang, Kemahang 3, Tanah Merah, Kelantan pada 9.45 pagi 25 Mac lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Muhammad Faris yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana hanya berpendapatan kecil dan perlu menyara keluarganya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat. – BERNAMA

Loading...