BR1M Bukti Prihatin Golongan Pendapatan Rendah

TENOM – Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membuktikan rakyat berpendapatan rendah diberi perhatian khusus oleh kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN), kata Menteri Pembanguan Luar Bandar Sabah Datuk Seri Radin Malleh.

Katanya ia juga membuktikan kerajaan sentiasa menghargai sokongan, peranan serta sumbangan rakyat dalam pembangunan negara di negeri ini khususnya di Tenom.

“Berdasarkan bajet kerajaan persekutuan dan negeri bagi 2018, kerajaan telah menyediakan banyak peruntukan untuk mensejahterakan rakyat,” katanya pada majlis penyerahan BR1M, di sini hari ini.

Radin berkata kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa berusaha memastikan nasib rakyat, khususnya mereka yang miskin dan berpendapatan rendah terbela dan mendapat kesamarataan.

“Untuk BR1M sahaja, pada tahun 2018 kerajaan BN menyediakan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion dan seramai tujuh juta rakyat mendapat manfaat daripadanya… RM600 juta daripadanya untuk rakyat di Sabah,” katanya menambah rakyat harus bersyukur kerana kerajaan benar-benar perihatin dan peka dengan keperluan mereka.

Radin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Melalap berkata Malaysia merupakan antara beberapa negara membangun di dunia yang mampu dan berjaya melaksanakan program bantuan seperti BR1M.

Sementara itu, Radin berkata beliau bersama pucuk pimpinan BN Sabah sentiasa menyuarakan pandangan kepada Kerajaan persekutuan agar peruntukan pembangunan luar bandar di negeri ini ditambah.

“Kita juga minta projek-projek luar bandar oleh kerajaan persekutuan di Sabah dikendalikan oleh kerajaan negeri … ternyata pandangan kita diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan dan kita menghargainya,” katanya.

Justeru, Radin mengajak rakyat berbilang kaum di kawasan luar bandar negeri itu agar terus menyokong dan mengundi BN pada pilihan raya umum ke-14 bagi memastikan kesinambungan pembangunan di negeri ini.

Beliau menasihati rakyat di pedalaman supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai maklumat tidak betul dan fitnah oleh golongan tertentu yang berniat menjejaskan imej dan kredibiliti kerajaan sedia ada selain ingin memecahbelahkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini. – BERNAMA

Loading...