Bomba Tumpu Aspek Keselamatan Anggota

KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi tumpuan terhadap aspek keselamatan semasa melakukan operasi bagi mengelakkan anggotanya menghidapi penyakit kronik selepas bersara.

Ketua Pengarahnya Mohammad Hamdan Wahid berkata bidang tugas anggota bomba yang terdedah kepada asap tebal, bahan berbahaya dan pencemaran boleh meningkatkan risiko mereka terhadap penyakit kronik.

Katanya, perkara itu diperoleh menerusi kajian yang dijalankan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bertujuan mengenal pasti punca dan masalah kemerosotan kesihatan anggotanya.

“Pemeriksaan mendapati anggota bomba berusia 52 tahun ke atas menghadapi masalah penurunan ketahanan otot dan ini boleh memberi kesan apabila mereka bersara nanti,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata demikian pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Bomba Pahang di sini hari ini, yang turut disertai Pengarah JBPM Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Mohammad Hamdan juga memaklumkan terdapat lima kes membabitkan anggota di negeri ini yang dimasukkan ke hospital dan punca penyakit masih tidak dapat dikenal pasti.

“Kita telah menjalankan kajian mengenai masalah ini sebanyak dua kali dengan memeriksa anggota bomba daripada pelbagai lapangan kerja berbeza bagi mengenal pasti punca berlakunya masalah ini.

“Bagi memastikan masalah ini tidak memberi kesan kepada anggota pada masa akan datang, kita akan meningkatkan keselamatan anggota ketika melakukan operasi dengan membekalkan alat perlindungan diri yang berkualiti tinggi dan menjalankan pemeriksaan kesihatan yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata pihaknya akan mendapatkan pemadam api dan pam air berkuasa tinggi bagi operasi memadam kebakaran melibatkan kebakaran hutan serta minyak dan gas.

“Kawasan hutan terutamanya di Pahang merangkumi kawasan yang luas dan terdedah dengan ancaman kebakaran hutan terutamanya melibatkan tanah gambut pada musim kering dan panas ketika ini.

“Hutan merupakan khazanah negara yang bernilai dan kita mahu mengelakkan berlakunya masalah pencemaran udara terutamanya jerebu jika hal ini berlaku,” katanya. – BERNAMA