Bom St. Petersburg: Kedutaan Malaysia Tunggu Laporan

PUTRAJAYA – Kedutaan Malaysia di Moscow, Rusia sentiasa berhubung dengan komuniti Malaysia dan pihak berkuasa tempatan di St. Petersburg bagi memastikan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian letupan di stesen kereta api bawah tanah di bandaraya itu.

“Pada ketika ini, pihak berkuasa tempatan sedang dalam proses mengenal pasti identiti mangsa,” kata Wisma Putra dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya letupan itu secara spesifik berlaku di Stesen Sennaya Ploschad dan Stesen Tekhnologichesky Institute pada kira-kira 2.30 petang waktu tempatan pada Isnin.

Menurutnya, laporan awal menyatakan sekurang-kurangnya 50 orang cedera dan 10 maut dalam insiden itu.

Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia di St. Petersburg yang terjejas oleh insiden itu atau memerlukan bantuan konsulat supaya menghubungi Kedutaan Malaysia di Moscow di Mosfilmovskaya Ulitsa 50 117192 Moscow atau menghubungi talian +7 495 419 9898 dan +7 495 419 9899 atau e-mel [email protected]

Anggota keluarga di Malaysia boleh menghubungi talian 03-8887 4570 (selepas waktu kerja) dan 03-8887 4530. – BERNAMA

Loading...