BNM Dijangka Lancar Kad Skor VBI Oktober Depan

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka melancarkan kad skor Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) pada Oktober tahun ini bersempena Forum Kewangan Islam Global.

Pengarah Jabatan Perbankan Islam dan Takaful BNM, Mohd Zabidi Md Nor berkata kad skor itu bertujuan mengukur sejauh mana institusi kewangan Islam menggunapakai inisiatif VBI itu dengan menjalankan perniagaan berdasarkan tiga peringkat utama iaitu penduduk, keuntungan dan planet.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar program Sembang VBI anjuran Standard Chartered Saadiq Bhd di sini, hari ini.

Laporan sebelum ini menyatakan bank pusat itu masih dalam proses membangunkan kad skor berkenaan dengan kalangan penggiat perbankan Islam selepas inisitif VBI itu diperkenalkan pada Julai tahun lepas.

Mengulas selanjutnya, Mohd Zabidi berkata kad skor itu secara amnya merangkumi elemen kuantitatif dan kualititatif yang mengukur segmen berbeza dalam sektor kewangan Islam.

“Kad skor itu secara asasnya meliputi skor yang kita berikan mengikut jenis pembiayaan mereka,” katanya.

Laporan sebelum ini menyatakan sembilan institusi perbankan Islam iaitu Bank Islam, Bank Muamalat, CIMB Islamic, Agrobank, HSBC Amanah, Maybank Islamic, AmBank Islamic, Alliance Islamic dan Standard Chartered Saadiq bekerjasama membentuk Komuniti Pengamal (CoP) VBI.

“Sembilan penggiat perbankan Islam itu turut terbabit dalam usaha membangunkan kad skor bagi memastikan ianya adalah praktikal,” kata Mohd Zabidi.

BNM yang bekerjasama dengan industri kewangan Islam, bertindak mengeluarkan satu kertas strategi mengenai VBI pada Julai tahun lepas yang bertujuan mengukuhkan peranan serta impak institusi perbankan Islam ke arah ekosistem kewangan yang mampan.

VBI yang berasaskan Syariah namun menyamai kewangan beretika seperti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pelaburan mampan, bertanggungjawab dan berimpak (SRI). – BERNAMA

Loading...