Bimbang Bayi, Ibu Berpindah Lebih Awal Ke PPS

DUNGUN – “Sebaik melihat air mula naik setinggi paras lutut di halaman rumah, saya dan suami terus mengemas barang untuk berpindah kerana perkara paling penting yang saya fikirkan ketika itu ialah keselamatan bayi kami,” kata Suraya Ghazali.

Suraya, 21, adalah antara 175 mangsa yang berada di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor di sini, setelah banjir melanda rumahnya pada Isnin lalu.

Beliau juga sangat bersyukur kerana bayi sulungnya, Wan Aira Qaisara yang berusia lima bulan, langsung tidak meragam sepanjang empat hari berada di pusat pemindahan sementara (PPS) itu.

“Mulanya saya risau juga sebab perlu berpindah dengan bayi kecil yang masih menyusu badan. Alhamdulillah, perasaan bimbang lenyap serta merta apabila melihat bayi saya tidak menangis walaupun terpaksa tinggal beramai-ramai di dewan ini.

“Malah, Aira juga kelihatan sangat selesa dan ceria kerana sentiasa ‘dikelilingi’ kanak-kanak lain yang suka melayan keletahnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi ibu muda, Siti Nur Aisyah Lokman, 22, juga lega apabila bayinya, Siti Nur Alisha Zhafira yang berusia enam bulan tidak banyak karenah sepanjang berada di pusat pemindahan itu.

“Saya dan suami, Tg Muhammad Zainudin Tg Muhammad Zulkurnain, 30, memang sudah lama mengasingkan barangan keperluan bayi kerana setiap tahun rumah kami akan dinaiki air pada musim banjir.

“Alhamdulillah, di sini kami juga mendapat bantuan lampin pakai buang secara percuma…dapatlah meringankan sedikit kos kewangan untuk membelinya.

“Mangsa banjir yang lain juga suka mendukung bayi saya kerana dia mudah mesra dengan sesiapa sahaja,” katanya yang tidak sabar hendak pulang ke rumah apabila banjir surut nanti. – BERNAMA