Berhenti Merokok Perlukan Tekad

KOTA BHARU – Bukan mudah untuk membuang tabiat yang sudah sebati dan menjadi darah daging sejak berpuluh tahun lamanya.

Namun tiada apa yang mustahil jika diiringi tekad yang teguh dan kesediaan untuk berubah seperti dikongsi seorang perokok tegar, Nik Abdul Halim Nik Mat.

Nik Abdul Halim, 63, berkata beliau mula menjadi perokok tegar sejak 35 tahun lalu, namun kini berjaya menghentikan tabiat buruk itu selepas mengikuti program berhenti merokok di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Ogos tahun lalu.

“Ternyata ia bukan sesuatu yang mudah kerana saya mula merokok sejak berumur 26 tahun. Bila tidak merokok kita rasa kehidupan seperti tidak ‘lengkap’ dan rasa tidak tenang. Namun atas nasihat doktor, saya nekad untuk berhenti merokok dan telah berjaya melakukannya,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Katanya, beliau sudah lama menyimpan hasrat untuk berhenti merokok namun kerap kali usahanya gagal kerana kebanyakan rakannya mempunyai tabiat yang sama.

Namun sejak dirinya dikesan mengalami gastrik yang teruk pada awal tahun lalu, beliau nekad untuk merealisasikan hasratnya itu.

Katanya, selepas sesi pertama rawatan beliau berjaya mengurangkan pengambilan rokok daripada 14 batang sehari kepada empat batang dalam tempoh dua minggu dan berjaya berhenti merokok sepenuhnya selepas menghadiri empat sesi rawatan.

“Saya bermula dengan mengambil pendekatan melengahkan keinginan untuk merokok selepas makan selama 20 minit dan tempoh itu dilanjutkan lebih lama dari sehari ke sehari,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga dan Pengamal Perubatan Berhenti Merokok HUSM, Dr Faridah Mohd Zin, berkata hampir 90 peratus faktor kejayaan untuk berhenti merokok adalah dipengaruhi tekad dan kesedaran perokok sendiri.

Katanya, mereka yang sudah mempunyai kesedaran mempunyai kecenderungan tinggi untuk mematuhi nasihat yang diberi dan mengikuti langkah yang ditetapkan untuk berhenti merokok.

“Kebanyakan golongan ini terdiri daripada mereka yang sudah mendapat komplikasi penyakit tertentu atau pesakit yang dirujuk,” katanya.

Dr Faridah berkata bagaimanapun sejak tahun lalu, Klinik Berhenti Merokok HUSM mula mendapat perhatian perokok yang hadir secara sukarela untuk mendapatkan khidmat bimbingan bagi menghentikan tabiat merokok.

“Kebanyakan perokok yang mampu menahan ketagihan merokok dalam tempoh tiga minggu berpotensi tinggi untuk ‘bebas’ daripada tabiat merokok sepenuhnya,” katanya.

Dr Faridah berkata bantuan khidmat nasihat dan beberapa kaedah ubat gantian yang disediakan di klinik berkenaan mampu membantu perokok berhenti merokok.

Klinik berkenaan menyediakan sesi rawatan sehari seminggu iaitu pada setiap hari Isnin membabitkan lima perokok bagi setiap sesi rawatan dengan purata keseluruhan kira-kira 80 perokok baharu dirawat setiap tahun.

Mereka yang ingin mendapatkan khidmat nasihat untuk berhenti merokok boleh menghubungi talian 09-7673510 untuk menetapkan waktu sesi kaunseling bersama Pegawai Perubatan.

Bermula 1 Januari lalu, kerajaan mewartakan semua premis makanan sebagai tempat larangan merokok. – BERNAMA

Loading...