Belia 4B Bantu Kaum Rohingya Kampung Pandan

KUALA LUMPUR – Atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan, Gerakan Belia 4B Cheras mengorak langkah membantu 200 anggota masyarakat Rohingya yang menetap di sekitar kawasan Kampung Pandan di bulan Ramadan ini.

Pengerusinya, Sharifah Zarinah Syed Ibrahim berkata sumbangan orang ramai amat diperlukan bagi membantu golongan itu untuk turut sama mengerjakan ibadat puasa dengan sempurna.

“Antara bantuan dan sumbangan yang diperlukan adalah seperti beras, gula, garam, minuman dan pakaian untuk membantu meringankan beban dan kesukaran hidup masyarakat ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Gerakan Belia 4B Cheras yang mempunyai kira-kira 150 anggota melaksanakan program amal itu sejak tiga tahun lepas.

Sharifah Zarinah berkata sumbangan boleh disalurkan di School off Hope (SOH) iaitu sekolah anak-anak Rohingya yang ditempatkan di kawasan Madrasah Kampung Pandan dari Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 11 pagi sepanjang bulan Ramadan ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga pengetua SOH berkata setakat ini terdapat 50 pelajar Rohingya yang mendapat pendidikan asas di sekolah tersebut.

Menurutnya, SOH mempunyai tiga kelas iaitu tadika, tahap 1 (darjah 1, 2, 3) dan tahap 2 (darjah 4,5,6) dan turut berpandukan silibus sekolah kebangsaan termasuk subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

“Kebanyakan anak-anak Rohingya di SOH cepat belajar dan mudah faham sesuatu subjek…kami juga mempunyai sesi one-on-one khusus untuk pelajar yang memerlukan lebih perhatian,” katanya.

Sharifah Zarinah berkata SOH beroperasi dari Isnin hingga Jumaat dan mempunyai lima guru dalam kalangan anggota Gerakan Belia 4B yang mengajar secara sukarela. – BERNAMA