Beli Kondo: Isa Samad Mohon Dapatkan Dokumen

BEKAS Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen berhubung minit mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat itu dan kelulusan pembelian kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC yang didakwa dibeli dengan harga melebihi pasaran.

Permohonan penzahiran dokumen itu adalah berhubung saman difailkan FGV Holdings terhadap Mohd Isa dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat itu, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah yang menuntut ganti rugi berjumlah RM7.69 juta membabitkan pembelian kondominium mewah berkenaan.

Peguam Joshua Goh Shang Yi, yang mewakili Mohd Isa memaklumkan kepada pemberita bahawa anak guamnya akan memfailkan permohonan tersebut dalam minggu ini.

Katanya, permohonan tersebut difailkan berikutan anak guamnya perlu mendapatkan dokumen syarikat terutama minit mesyuarat Lembaga Pengarah dan kelulusan pembelian kondominium itu, yang kini tidak boleh diakses selepas Mohd Isa meletak jawatannya sebagai pengerusi syarikat tersebut, dua tahun lepas.

“11 Februari ini ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya selepas hadir pada pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Shuhada Ramli hari ini.

FGV Holdings Berhad selaku plaintif menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia 30 November tahun lepas, menjelaskan saman yang difailkan terhadap kedua-dua defendan itu adalah berhubung pembelian kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC oleh FGV dengan harga yang dikatakan melebihi pasaran.

Syarikat itu berkata saman berkenaan juga berkaitan penyalahgunaan kenderaan syarikat dan faedah petrol oleh Mohd Emir.

Oleh itu, FGV menuntut RM4.54 juta daripada kedua-dua defendan berhubung pembelian kondo berkenaan dan RM3.15 juta daripada Mohd Emir atas dakwaan menyalahgunakan kenderaan syarikat dan faedah petrol.

Syarikat itu juga menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap ganti rugi yang diberikan mulai dari tarikh pemfailan saman itu sehingga tarikh penyelesaian penuh dan muktamad. – BERNAMA

Loading...