Bekas Tentera Cat, Hias Rumah Dengan Jalur Gemilang

TANAH MERAH – Mengecat rumah dan memasangnya dengan ribuan Jalur Gemilang menjadi inisiatif kepada seorang bekas tentera sempena sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

Muhammad Nasir Mustapha, 59, berkata selain itu, beliau turut memasang sebanyak 61 Jalur Gemilang di vannya.

“Saya mulakan kerja-kerja mengecat bahagian luar rumah dengan tema Jalur Gemilang sejak Jun lalu secara bersendirian dan telah mengeluarkan modal RM300 untuk membeli cat.

“Selain itu, saya memasang kira-kira 2,500 Jalur Gemilang di sekeliling rumah bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Batu 11 di sini, hari ini.

Menariknya, Muhammad Nasir tidak mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli Jalur Gemilang tetapi mengutipnya di tepi jalan.

“Saya mula mengutip Jalur Gemilang yang jatuh di tepi jalan, rosak mahupun koyak sejak tahun 2000 lagi.

“Walaupun sering disindir rakan-rakan namun ia memberi kepuasan sekaligus mendidik hati saya untuk mencintai tanah air,” katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata Jalur Gemilang merupakan kekuatan kepada anggota tentera dalam mempertahankan tanah air daripada sebarang anasir yang mahu merosakkan negara.

“Ini adalah cara saya melahirkan semangat cintakan negara. Walaupun ada sesetengah rakan yang sindir saya sudah gila, namun sebagai bekas tentera Jalur Gemilang adalah kekuatan kami.

“Sindiran itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus menghiasi rumah saya atau kenderaan saya dengan Jalur Gemilang sepanjang tahun terutamanya pada bulan kemerdekaan,” katanya sambil menambah aktivitinya itu turut mendapat sokongan daripada anggota keluarganya. – BERNAMA

Loading...