Bekas Kakitangan Mahkamah KL Didakwa Salah Guna Wang

KUALA LUMPUR – Seorang bekas kakitangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 18 pertuduhan menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM61,000 iaitu bayaran denda oleh 18 individu, tiga tahun lepas.

Shahnaz Khan Kamarzaman ,37, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa sebagai Pembantu Operasi di Unit Pendaftaran Mahkamah Sesyen dan Majistret (Jenayah) telah menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM61,000 yang dibayar oleh 18 individu untuk pembayaran denda bagi kes tangkap tertuduh-tertuduh yang didakwa di mahkamah itu.

Bapa anak dua itu dituduh melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 10 pagi dan 4.30 petang, 16 Feb hingga 3 Julai 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abdul Rashid Sulaiman menawarkan jaminan RM70,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM.

Peguam P.G Cyril dan Farhan Read yang mewakili Shahnaz Khan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mampu membayar jumlah yang tinggi kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Anak guam saya kini berniaga sendiri dengan pendapatan sebulan RM1,500 dan menanggung keluarga serta seorang isteri yang tidak bekerja. Malah harta dan akaunnya telah dibekukan dan dirampas oleh SPRM sejak 11 Jan 2016 ” kata Cyril.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan 17 Ogos ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Semasa ditanya Hakim Azura siapa yang akan menjaminnya, Shahnaz Khan memberitahu kawannya akan menjadi penjaminnya. – BERNAMA

*Sekadar Video Hiasan..