Bas Terbakar: Trafik Sesak 10km Di Lebuhraya PLUS

KUALA LUMPUR – Aliran trafik setakat 8.15 malam ini sesak sejauh 10 kilometer di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara bermula di km 447.5 akibat kebakaran sebuah bas ekspres.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata kebakaran bas itu berlaku berhampiran tol Hospital Sungai Buloh menghala ke Rawang Selatan pada kira-kira pukul 6.50 petang tadi.

“Bas yang terbakar berada di lorong kecemasan ketika ini namun terdapat penutupan lorong kiri menyebabkan kesesakan jalan semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata kesemua 28 penumpang bas itu dilaporkan sempat menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Kami segera mengerahkan seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang serta Sungai Buloh ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.54 petang,” katanya. – BERNAMA

Loading...