Curi Pelbagai Barang, Bapa Seorang Anak Dipenjara Sehari

KUALA LUMPUR – Gara-gara mencuri pelbagai jenis barangan termasuk coklat di sebuah pasar raya, bapa seorang anak dipenjara sehari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mahyudin Mohamad Som memerintahkan Mas Indera Sahrudin, 33, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada Jumaat.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh mengaku mencuri termasuk empat botol coklat, 16 kotak coklat Tablerone, dua botol syampu dan sepasang kasut yang kesemuanya bernilai RM310.96 milik syarikat Econsave, Jalan Klang Lama di sini pada 6.30 petang, 13 Jan lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, dan bagi kesalahan kali kedua atau yang seterusnya hendaklah dihukum dengan penjara atau denda atau sebat.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan dengan alasan dia menyara seorang anak tetapi Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran. – BERNAMA

Loading...