Bapa Mengaku Tidak Bersalah Pukul Anak Guna Rotan

KUALA LUMPUR – Seorang bapa empat anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan dengan sengaja mencederakan anak lelakinya pada Ogos lepas.

Penjual barangan elektrik, Tan Kian Teck, didakwa melakukan perbuatan itu menggunakan rotan terhadap anak sulungnya yang berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Taman Bukit Intan, Sri Petaling di sini, kira-kira 5.30 petang, 4 Ogos lepas.

Tan, 37, didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar memohon mahkamah supaya tidak memberi sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan kes itu serius kerana melibatkan kanak-kanak.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Guok Ngek Seong memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan alasan tertuduh perlu bekerja bagi menanggung isteri dan empat anaknya.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 November ini bagi sebutan semula kes. – BERNAMA

Loading...