Bantuan Wang Ihsan Banjir Diberikan Berdasarkan Rumah Terlibat

SANDAKAN – Bantuan wang ihsan banjir berjumlah RM500 diberikan mengikut rumah dan bukannya mengikut bilangan keluarga yang tinggal sebumbung, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Katanya beliau membuat pembetulan berhubung kenyataannya di Sarikei, Sarawak, semalam, bahawa setiap keluarga yang terjejas banjir boleh memohon bantuan walaupun mereka tinggal sebumbung.

“Pemberian wang ihsan banjir hanya berdasarkan satu pintu (rumah) sahaja dan tidak melibatkan bilangan keluarga.

“Hanya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mengikut bilangan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerangan mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), Bajet dan Isu-isu Semasa Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf atas kesilapan maklumat yang diberikan itu. – BERNAMA

Loading...