Bantahan Awal Terhadap Permohonan Khairuddin Batal Pertuduhan Didengar 13 April

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 13 April untuk mendengar bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagi membatalkan pertuduhan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara yang dihadapinya.

Peguam bela tertuduh, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas kes tersebut disebut di dalam kamar di hadapan Timbalan Pendaftar Noor Aini Yusof, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud dan Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Mohamed Haniff berkata mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 6 April ini.

Khairuddin selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 3 Feb lepas dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Dalam notis usul itu, Khairuddin memohon perintah mahkamah supaya pertuduhan yang dihadapinya mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dibatalkan dengan serta-merta atas alasan pertuduhan tersebut dikemukakan tanpa mana-mana kuasa pendakwaan yang sah pada 12 Okt 2015 oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menurut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Khairuddin juga memohon beliau dilepaskan serta-merta daripada pertuduhan itu selain memohon lain-lain perintah yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Khairuddin mengemukakan permohonan itu atas alasan Mohamed Apandi tidak mempunyai kuasa yang sah sebagai Peguam Negara ketika dirinya didakwa di mahkamah pada 12 Okt 2015 kerana pelantikan Mohamed Apandi adalah untuk menggantikan kekosongan jawatan Peguam Negara sebelum itu iaitu Tan Sri Abdul Ghani Patail, adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan negara.

Pada 12 Okt 2015, Khairuddin, 54, dihadapkan ke mahkamah bersama-sama peguam Matthias Chang Wen Chieh, 66, atas dakwaan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima lokasi antara 28 Jun dan 26Ogos 2015, mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Lima lokasi itu ialah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom; pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; Balai Polis WaiChan, Hong Kong; dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura.

Pada 18 Nov 2015, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan pertuduhan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan tidak tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dan membebaskan Khairuddin dan Chang masing-masing dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin serta pasport mereka diserahkan kepada mahkamah. – BERNAMA

Loading...