Banjir: UMNO Tanah Merah Sedia 8 Bot Berkuasa Tinggi

TANAH MERAH – UMNO bahagian Tanah Merah menyediakan lapan bot berkuasa tinggi sebagai persiapan logistik bagi menghadapi kemungkinan banjir di jajahan itu tahun ini.

Timbalan Ketua UMNO Tanah Merah, Mohd Bakri Mustapha berkata bot berenjin 40 kuasa kuda mampu memuatkan 12 penumpang pada satu-satu masa itu diagihkan kepada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Tanah Merah.

“Empat bot diserahkan kepada DUN Gual Ipoh dan masing-masing dua kepada DUN Kemahang dan DUN Bukit Panau sebagai pengangkutan sokongan kepada agensi pengurusan banjir bagi membantu memindahkan mangsa banjir,” katanya.

“DUN Gual Ipoh diberi keutamaan kerana hampir 70 peratus perkampungan di kawasan itu ditenggelami air ketika banjir 2014,” katanya kepada Bernama.

Mohd Bakri, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, berkata selain bot berkuasa tinggi, UMNO bahagian Tanah Merah turut menyediakan 13 bot biasa yang telah diagihkan sejak tahun lalu sebagai persediaan menghadapi bencana alam itu.

“Kita turut mempersiapkan bekalan makanan dan khemah sejak awal Oktober lepas selain mengarahkan jentera UMNO bahagian untuk sentiasa berhubung dengan agensi penyelamat bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mangsa apabila musibah itu berlaku,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply