Banjir: Paras Air Sungai Di T’ganu Catat Kenaikan

KUALA TERENGGANU – Hujan berterusan sejak Khamis lalu di Terengganu menyebabkan kenaikan paras air dua sungai utama di Setiu setakat 11.30 pagi ini.

Rekod bacaan dalam laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Chalok di Jambatan Chalok menunjukkan bacaan 7.47 meter (m) melebihi paras normal iaitu 7m manakala Sungai Nerus di Kampung Pangkal pula menunjukkan bacaan 20.57m melebihi paras normal 20m.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman ketika dihubungi Bernama berkata di Besut pula, jalan berdepan Pejabat Meteorologi Malaysia telah dinaiki air sepanjang 50m dengan kedalaman setinggi 0.3m, namun masih boleh dilalui kenderaan.

“Walaupun beberapa kawasan mengalami hujan lebat ketika ini, namun tinjauan kami mendapati keadaan masih terkawal dan tiada kawasan rendah yang dinaiki air setakat ini kerana laluan air ke laut masih lancar.

“Kebanyakan paras air di sungai utama negeri juga masih berada pada paras normal dan setakat ini juga, tiada kenaikan paras air laut dilaporkan,” katanya.

Che Adam berkata semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri dan daerah juga telah membuat pemantauan berkala terutama di kawasan yang sering dinaiki air sejak semalam.

Beliau berkata paling penting penduduk Terengganu sendiri perlu peka dengan perkembangan cuaca semasa dan sentiasa mengikuti laporan yang disiarkan dalam media arus perdana untuk berita yang tepat.

“Bagi penduduk di kawasan berisiko dinaiki air, persediaan rapi sepatutnya sudah siap sepenuhnya seperti mengalihkan barangan dan dokumen penting ke tempat yang lebih selamat bagi berdepan kemungkinan banjir dalam tempoh terdekat,” katanya. – BERNAMA

Loading...