Banjir Kilat: 581 Mangsa Terjejas Di Kuala Muda

SUNGAI PETANI – Sebanyak 581 mangsa daripada 144 keluarga di daerah Kuala Muda terjejas akibat banjir kilat hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda Kapten Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata hujan lebat yang berterusan sejak 9 malam tadi sehingga awal pagi ini menjejaskan 10 kampung di daerah Kuala Muda.

“Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan rasmi dibuka dan lebih 30 anggota ditugaskan membantu dalam operasi banjir kilat kali ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Banjir itu melibatkan tiga kampung di Gurun, empat di Sungai Petani dam tiga di Merbok.

Kawasan paling teruk terjejas ialah Kampung Padang Regent, Tikam Batu yang melibatkan 200 mangsa dari 40 keluarga, Kampung Sungai Badak sebanyak 120 mangsa (30 keluarga) dan Kampung Sungai Bongkok yang melibatkan 100 mangsa (30 keluarga) .

Di KULIM, APM meneruskan pemantauan di kawasan berpotensi dinaiki air di Kulim dan Bandar Baharu.

Jurucakap APM Kulim memberitahu bahawa setakat ini, hanya dua rumah di Kampung Padang Cina, Mukim Padang Cina yang terjejas akibat banjir dan tiada pusat pemindahan dibuka.

Pegawai dan anggota Pasukan Tindak Balas Kecemasan Peringkat Komuniti (CDERT) turut bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir jika hujan tidak berhenti dalam masa sejam.

APM Kulim meminta orang ramai segera melaporkan sebarang kejadian banjir di kawasan itu dengan menghubungi talian 04-4903746. – Bernama

https://www.youtube.com/watch?v=EPYQrF5nJL8