Banjir: 8 kampung Di Hulu S’gor Alami Gangguan Bekalan Air

KUALA LUMPUR – Sembilan kawasan termasuk lapan kampung di Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah tidak berjadual berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek akibat banjir hari ini.

Syabas dalam satu kenyataan berkata, bekalan air kepada 731 akaun pengguna air di Kampung Sungai Nilam, Kampung Sri Pagi, Kampung Lalang, Rumah Murah, Kampung Serigala, Kampung Sekolah/Kampung Bahom, kuarters guru/klinik, Kampung Masjid dan Kampung Gesir Tengah tergendala sejak 7 pagi.

Ini berikutan penutupan LRA Sungai Selisek disebabkan peningkatan aliran air Sungai Selisek secara mendadak akibat hujan lebat petang semalam.

Menurut Syabas, loji rawatan itu akan beroperasi semula apabila paras air surut dan kerja pembaikan kerosakan selesai dijalankan.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai gangguan bekalan air daripada Pusat Panggilan Syabas (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau menerusi aplikasi mudah alih mySYABAS. – BERNAMA

Leave a Reply