Bangkok Destinasi Pilihan Utama Pelancong Wanita Solo Asia

SINGAPURA – Ibu negara Thailand, Bangkok menjadi destinasi pilihan pertama di Asia bagi golongan pelancong wanita yang suka bercuti secara bersendirian, lapor stesen penyiaran milik Singapura, Channel NewsAsia.

Singapura yang menyaksikan kemerosoton kedatangan pelancong asing terburuk pada 2014 lalu, menjadi destinasi pilihan kedua di benua terbesar dunia itu diikuti Siem Reap, Kemboja; Bali, Indonesia, dan Hong Kong China.

Penemuan tersebut diperoleh hasil dapatan tinjauan yang dibuat oleh laman pelancongan popular antarabangsa, TripAdvisor sempena sambutan Hari Wanita Sedunia anjuran Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 8 Mac ini.

Bagi kategori destinasi pilihan peringkat global pula, pelancong golongan itu lebih gemar berkunjung ke kota London, Britain diikuti dengan Paris, Perancis; New York, Amerika Syarikat; Rome, Itali dan Barcelona, Sepanyol.

Tinjauan dijalankan Februari lalu, melibatkan sekitar 9,200 responden wanita dari Australia, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Malaysia dan Singapura susulan beberapa kes rogol pelancong wanita Jepun di India awal tahun ini.

Wanita Jerman dan Perancis adalah paling tinggi suka melancong secara solo ke seluruh dunia iaitu 91% diikuti Australia dan Britain (81%), Rusia (65%) dan AS (63%) manakala pelancong wanita Asia tenggara pula 48%.

Kajian laman itu mendapati, atas faktor keselamatan terutama jenayah serangan seksual, 71% daripada pelancong wanita mengelak berjalan waktu lewat malam dan 55% pula tidak akan bersiar-siar di laluan sunyi. – Agensi

Loading...