Bandaraya Kuching Dicadang Seorang Datuk Bandar

KUCHING – Cadangan supaya bandaraya Kuching mempunyai hanya seorang Datuk Bandar adalah antara perkara yang dibangkitkan oleh Bengkel Bandaraya Perpaduan anjuran Yayasan 1Malaysia (Y1M) selama dua hari yang berakhir petang ini.

Pengerusi Y1M, Prof Dr Chandra Muzzafar berkata secara peribadi beliau berpendapat cadangan itu perlu diberi perhatian dan dikaji dengan mendalam, kerana pastinya ia akan menghadapi cabaran-cabaran tertentu untuk dilaksanakan.

Beliau berkata isu itu tidak dapat dielak kerana kewujudan dua Datuk Bandar bagi sebuah bandaraya sememangnya agak aneh, dan isu sama turut dibangkitkan oleh beberapa kumpulan dalam bengkel dua hari itu.

Katanya, perkara itu pasti akan ditimbulkan apabila pihak Y1M mengemukakan usul kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) agar Kuching diiktiraf sebagai sebuah bandaraya perpaduan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penutup bengkel disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai di Pustaka Negeri Sarawak di sini Prof Chandra berkata semua cadangan dan kesimpulan hasil daripada bengkel itu akan dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan negeri.

Ketika ini kawasan pentadbiran bandaraya Kuching dibahagikan kepada dua iaitu kawasan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan.

Sementara itu Dr Chandra berkata satu lagi cadangan yang dikemukakan oleh bengkel berkenaan ialah supaya diwujudkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan idea Kuching sebagai bandaraya perpaduan.

Beliau berkata untuk memberikan makna kepada jawatankuasa ini, beliau mencadangkan supaya ia diterajui oleh seorang yang mempunyai ‘authority’, yang akan meninjau isu-isu berkaitan pencapaian status perpaduan, bagaimana untuk mengatasi cabaran, apa kelebihan, kekurangan, dan sebagainya.

Ketua Menteri Sarawak kelima Allahyarham Tan Sri Adenan Satem telah mengisytiharkan Kuching sebagai bandaraya perpaduan pada 1 Ogos 2015 hasil cetusan idea dan kajian yang dilaksanakan oleh Y1M.

Sementara itu, Abang Abdul Wahap dalam ucapan penutupnya berkata beliau secara peribadi bersetuju dengan cadangan supaya diwujudkan hanya seorang Datuk Bandar bagi seluruh bandaraya Kuching, namun menekankan supaya kajian lebih mendalam perlu dilaksanakan mengenainya terlebih dahulu oleh kerajaan negeri. – BERNAMA

Loading...