BAM Tidak Beri Tekanan Terhadap Chong Wei

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mahu memberi sebarang tekanan kepada pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei untuk menang dalam setiap kejohanan disertainya.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata persatuan sedar dan menerima hakikat bahawa faktor usia antara yang menjadi penghalang kepada bekas pemain nombor satu dunia itu memenangi setiap kejohanan berkenaan.

“Selagi Chong Wei masih pemain nombor satu negara, tiada pemain junior atau pelapis yang mampu menyaingi beliau.

Kita akan kekalkan dengan pelan yang ada, Datuk Lee Chong Wei boleh memilih mana-mana kejohanan yang ingin beliau sertai dan tidak meletakkan tekanan untuk beliau menang.

“Dengan umur 35 tahun, untuk bersaing dengan pemain berusia lingkungan 21 tahun ke atas bukan mengenai kemahiran tetapi kita juga tidak boleh melawan takdir dan kena terima hakikat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan anggota gabungan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata BAM juga sedang dalam proses melahirkan pemain perseorangan lelaki bagi menggantikan tempat Chong Wei sekiranya pemain kelahiran Pulau Pinang itu meninggalkan arena badminton negara satu hari nanti.

Beliau berkata pemain remaja negara, Leong Jun Hao dilihat antara permata yang perlu digilap bakatnya dan diberi pendedahan awal agar matlamat negara untuk melahirkan pemain setanding Chong Wei pada masa akan datang, berjaya.

“Kita kenang apa yang Chong Wei sudah sumbangkan buat negara. Beliau legenda kita dan jangan beri tekanan terhadap beliau.

“Selain itu, kita tumpukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk melahirkan pemain setanding Chong Wei dalam kalangan beberapa pemain negara termasuk Jun Hao,” katanya.

Chong Wei yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-35 pada 21 Okt lepas, tewas kepada H.S Prannoy dari India pada pusingan kedua kejohanan Terbuka Denmark dengan 17-21, 21-11, 19-21.

Chong Wei akan beraksi pada Terbuka Perancis bermula Selasa ini. Beliau yang merupakan juara Terbuka Perancis pada 2007, 2011 dan 2015 akan membuka tirai saingan menentang pemain daripada pusingan kelayakan. – BERNAMA

Loading...