Bakal Pelatih Pusasda Maut Kemalangan

SEREMBAN – Seorang pemuda yang bakal mendaftar sebagai pelatih di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Km262.8, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) awal pagi ini.

Mohamad Asmawi Hamdan, 18, yang melambung sebelum terjatuh di atas jalan raya dan diseret kira-kira 50 meter oleh kereta sama, meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakannya, Mohd Aid Aidil Salihin, 19, berkata ketika kejadian kira-kira 1 pagi itu, dia dan Mohamad Asmawai serta empat lagi rakan menunggang motosikal masing-masing dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Senawang.

“Tiba-tiba sebuah kereta Proton Preve berwarna putih melanggar Mohamad Asmawi yang menunggang di sebelah saya. Ekoran itu, Mohamad Asmawi melambung ke udara sebelum dilanggar lagi oleh kereta yang sama. Semuanya berlaku sangat pantas dan saya hanya mampu tergamam,” katanya kepada Bernama di tempat kejadian.

Beliau berkata rakannya itu yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik difahamkan akan mendaftar sebagai pelatih di Pusasda bulan depan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat.

Ketua Trafik Negeri Supt Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu. – BERNAMA