ATSB Rumus Serpihan Jumpa Di Tanzania MH370 – Liow

PUTRAJAYA – Pakar-pakar dari Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) merumuskan bahawa serpihan yang dijumpai di pulau Pemba, dekat pantai Tanzania, pada Jun tahun ini adalah milik pesawat MH370 Malaysia Airlines yang hilang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ATSB dengan persetujuan Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 membuat rumusan itu berdasarkan pemeriksaan teliti dan analisis ke atas serpihan, iaitu bahagian flaperon yang dijumpai pada 20 Jun tahun ini.

Liow berkata, ATSB telah mengenal pasti beberapa nombor bahagian, bersama penampilan fizikal, dimensi, dan pembinaan yang disahkan sebagai kepingan serpihan flaperon pesawat Boeing 777.

“Cap tarikh berkaitan satu daripada nombor bahagian menunjukkan tatrikh pembuatannya pada 23 Jan 2002, sama dengan tarikh penghantaran bagi MH370 pada 31 Mei 2002,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain nombor bahagian Boeing, beliau berkata semua stem identifikasi mempunyai nombor kedua ‘OL’ nombor identifikasi yang unik berkaitan pembinaan bahagian.

Liow berkata pengeluar bahagian itu di Itali telah mengesahkan bahawa semua nombor pada bahagian tersebut berkaitan dengan nombor siri yang sama pada bahagian flaperon yang dihantar kepada Boeing sebagai nombor baris 404.

Beliau berkata pihak pengeluar juga mengesahkan bahawa nombor baris 404 pesawat dihantar kepada Malaysia Airlines (MAS) dan didaftarkan sebagai 9M-MRO (MH370).

“Oleh itu, pakar-pakar telah membuat rumusan bahawa serpihan tersebut iaitu bahagian flaperon adalah dari pesawat 9M-MRO, juga dikenali sebagai MH370,” katanya.

Liow berkata, pemeriksaan lanjut serpihan akan terus dijalankan dengan harapan bukti selanjutnya mungkin ditemui untuk membuat rumusan baharu terhadap keadaan yang menyelubungi penerbangan MH370.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan akan terus memberikan maklumat terkini apabila maklumat baharu diperoleh.

Liow juga merakamkan penghargaan kementerian kepada pihak berkuasa di Tanzania dan Australia atas sokongan dan bantuan mereka.

Penerbangan MH370 hilang dari imbasan radar pada 8 Mac, 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang penumpang dan anak kapal.

Bangkai pesawat malang itu belum dijumpai walaupun operasi mencari besar-besaran dijalankan di selatan Lautan Hindi, dipercayai tempat bersemadinya pesawat tersebut. – BERNAMA

Leave a Reply