ATM Rampas Ketum Seberat 200kg Cuba Diseludup

KUALA NERANG – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pasukan Batalion Ke-2 Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) merampas 200 kilogram daun ketum dengan anggaran nilai RM18,000 yang cuba diseludup keluar ke negara jiran pagi tadi.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata rampasan dilakukan di satu kawasan semak berhampiran Pos Sahara kira-kira 9.30 pagi.

Beliau berkata pemeriksaan di kawasan itu menemukan 20 bungkusan plastik hitam yang di dalamnya mengandungi 1,000 ikat daun ketum yang disorokkan di dalam semak bagi mengelak dikesan pihak keselamatan.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan berkenaan tidak menemui pemiliknya menyebabkan ianya dirampas untuk siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan itu, daun ketum yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

Loading...