Atlet Prestasi Tinggi Penentu Kejayaan Program Podium

SERI KEMBANGAN – Atlet berprestasi tinggi di Sukan Asia memikul tanggungjawab berat kerana mereka adalah pengukur keberhasilan Program Podium kendalian Institut Sukan Negara (ISN) yang bermula pada 2015.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika diminta mengulas sama ada wajar atau tidak sasaran tujuh pingat emas di temasya itu sedangkan Program Podium menerima peruntukan besar, berkata sasaran sudah diputuskan oleh pihak Program Podium, Majlis Olimpik Malaysia dan Ketua Kontinjen negara ke Sukan Asia.

Beliau juga memberikan respons positif dan menyifatkan Program Podium sangat signifikan dalam melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi pada masa akan datang.

Namun terdapat beberapa perkara dalam program itu yang perlu dilihat semula terutamanya dalam mengurangi perbelanjaan dan menarik lebih banyak penajaan.

“Sasaran tujuh pingat emas itu adalah sasaran minimum. Seperti saya katakan sebelum ini, minimum tujuh hingga 11 pingat emas. Memang banyak lagi perlu diperbaiki dalam program itu.

​​​​​​​“Secara am program itu bagus tetapi perlu mencari lebih banyak penaja untuk mengurangi kos. Program ini sangat penting, kami akan mengadakan perbincangan menyeluruh mengenai Podium selepas Sukan Asia,” katanya ketika ditemui pemberita pada acara kayuhan Maju Expressway (MEX Ride 2018) di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seri Kembangan di sini, hari ini.

Podium merupakan program persediaan khas untuk atlet-atlet elit negara yang diselia Institut Sukan Negara (ISN) bertujuan membantu mereka meraih kejayaan cemerlang pada temasya sukan antarabangsa seperti Komanwel, Asia dan Olimpik.

Syed Saddiq berkata selaku menteri, beliau tetap bersama-sama kontinjen negara dan bertanggungjawab dengan prestasi mereka di Sukan Asia nanti.

“Tanggungjawab saya bukan sahaja pada Sukan Asia ini tetapi temasya sukan lain pada masa akan datang, saya tidak boleh ketepikan tanggungjawab itu,” katanya.

Malaysia menghantar 418 atlet menyertai 35 jenis sukan secara rasmi meletakkan sasaran tujuh emas untuk kontinjen negara ke Sukan Asia 2018 dengan beberapa sukan menjadi sandaran utama seperti berbasikal, karate, pencak silat, tenpin boling dan sepak takraw.

Bagaimanapun, kontinjen negara turut diumumkan berpeluang mencecah 11 emas menerusi beberapa sukan lain seperti pelayaran, skuasy dan hoki lelaki.

Malaysia pernah berada dalam kelompok 10 terbaik di Sukan Asia 2010 dengan sembilan emas, bagaimanapun ia merosot empat tahun kemudian apabila kontinjen negara berada pada kedudukan ke-14 dengan lima emas. – BERNAMA

Loading...