Aspek Siasatan Antara Aduan Paling Kerap Diterima PDRM

KUANTAN – Aspek penyiasatan dan perkhidmatan kaunter Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan aduan paling kerap diterima daripada orang awam, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zubaidah Md. Ismail.

Beliau berkata jabatan itu menerima lebih 2,000 aduan setahun, dengan purata antara 200 hingga 300 aduan sebulan.

“Daripada aduan ini menunjukkan masalah integriti ini hanya berlaku pada 10 peratus daripada keseluruhan jumlah angggota dan dua aspek yang dinyatakan itu adalah aduan yang paling kerap diterima.

“Manakala aduan berkaitan rasuah pula, ia tidak banyak dilaporkan, iaitu pada 0.02 peratus sahaja, berbanding dengan persepsi masyarakat terhadap pihak berkuasa ini (polis),” katanya.

Zubaidah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Polis Negara di Kuantan, Ahad.

Beliau berkata JIPS mempunyai lebih 20 saluran untuk orang ramai menyampaikan aduan termasuk menerusi media sosial dan talian hotline.

Zubaidah menjangkakan keyakinan masyarakat terhadap PDRM akan meningkat susulan langkah proaktif yang diambil untuk menyelesaikan aduan berkenaan.

Pada kejohanan itu, kontinjen Selangor mengekalkan kejuaraan buat kali ke-11 berturut-turut dengan kontinjen Bukit Aman muncul naib johan dan Negeri Sembilan di tempat ketiga manakala tuan rumah Pahang sekadar di tempat keempat. – BERNAMA

https://www.youtube.com/watch?v=z38CMtF3bZQ

Loading...